Kontraktor diberi masa hingga 31 Dis siapkan menara Jendela Posted on 13/12/2024 Notis Ketidakpatuhan dikeluarkan 28 Okt lalu kepada semua kontraktor Jendela yang belum menyiapkan projek dianugerahkan kepada mereka. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Kontraktor projek menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang lewat menyiapkan kerja perlu menyelesaikan pembinaan menara itu sebelum 31 Dis ini bagi mengelak diambil tindakan. Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata antara tindakan boleh diambil berdasarkan Notis Pemberitahuan Penamaan (Notification of Approval) terhadap pembina menara gagal menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan ialah tuntutan “liquidated damages”, pelaksanaan pengambilan “Performance Bond”, penolakan tuntutan dan tindakan undang-undang lain di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Beliau berkata, Notis Ketidakpatuhan dikeluarkan 28 Okt lalu kepada semua “Designated Universal Service Provider” (DUSP) Bahagian 1 dan 2 yang belum menyiapkan projek Jendela dianugerahkan kepada mereka. “Dalam notis ini, DUSP berkaitan diberikan tempoh 1-2 bulan hingga 31 Dis ini untuk menyiapkan kerja masing-masing. “Sekiranya DUSP berkaitan belum menyiapkan kerja sehingga tempoh ditetapkan, tindakan tuntutan ‘liquidated damages’ boleh dilaksanakan terhadap DUSP berkaitan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara. Teo berkata, projek Jendela Fasa 1 masih dalam pelaksanaan dan 1,385 struktur menara siap dibina daripada 1,661 yang dirancang setakat 31 Okt lalu dan daripada jumlah itu, hanya 808 menara telah beroperasi. Dalam pada itu, Teo memaklumkan 603 perkampungan Orang Asli menerima manfaat liputan rangkaian 4G daripada menara yang siap dibina dan beroperasi setakat 31 Okt lalu. “Tambahan daripada itu, dianggarkan 82 kampung Orang Asli lagi akan diliputi rangkaian 4G daripada menara yang dalam pelaksanaan di bawah inisiatif Jendela Fasa 1 dan dijangka siap secara berperingkat hingga akhir 2025.” Secara keseluruhannya, beliau berkata, 685 atau 81% daripada 843 kampung Orang Asli yang direkodkan telah atau akan mempunyai liputan 4G. Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dalam penggulungan kementeriannya pula menyeru semua pihak menyokong pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina oleh kerajaan China tahun depan. Menurutnya, program sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China itu akan memberi peluang negara menarik perhatian global, terutama 1.4 bilion rakyat di republik berkenaan. “Inisiatif ini juga berpotensi meningkatkan ketibaan dan pendapatan pelancongan negara, termasuk di Kedah dan Langkawi, selain memperkukuh hubungan diplomatik dan memberi manfaat ekonomi. “Berdasarkan perimeter United Nation Tourism, pelancong China merupakan pembelanja terbesar dalam pelancongan, oleh itu saya menyeru Ahli Berhormat (Senator) dan semua untuk sama-sama mempromosikan negara kita.” News
Wisma Putra: No Malaysians affected by unrest in Mozambique Posted on 26/12/2024 PUTRAJAYA, Dec 26 — No Malaysians in Mozambique have been affected by the ongoing unrest, which has predominantly impacted urban areas, including the capital Maputo, said Malaysia’s Foreign Ministry, Wisma Putra. Wisma Putra in a statement Thursday said that the High Commission of Malaysia in Pretoria, South Africa maintains regular… Read More
Bersatu wujud sidang meja bulat Gagasan Pendamaian Nasional Posted on 30/11/2024 Muhyiddin Yassin turut menggesa pertubuhan Melayu dan Bumiputera menubuhkan satu badan tunggal yang memayungi semua NGO untuk memperjuangkan agenda Bumiputera. SHAH ALAM: Bersatu akan mengadakan sidang meja bulat yang dinamakan Gagasan Pendamaian Nasional dalam usaha ‘memperbetulkan kembali keadaan negara’, menurut Presidennya Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, sidang itu akan memfokuskan isu… Read More
Decision on punishment for 5 UPNM cadets in 2 weeks Posted on 16/11/2024 Defence minister Khaled Nordin said although military training is indeed tough, it does not involve acts of cruelty such as assaults with hot irons. (Envanto Elements pic) PETALING JAYA: A decision will be made in two weeks on what sort of punishment should be meted out to five bullies at… Read More