Paulo Josue penyelamat maruah Malaysia Posted on 12/12/2024 Malaysia hampir dimalukan pasukan kerdil Timor-Leste dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Asean, di Stadium Nasional, Bukit Jalil. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Malaysia nyaris dimalukan pasukan kerdil Timor-Leste selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala Asean 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. Penyerang naturalisasi Paulo Josue muncul wira skuad Harimau Malaya apabila meledak dua gol pada babak kedua permainan untuk mengubah kedudukan selepas Timor-Leste yang merupakan pasukan di ranking ke-196 dunia mendahului 2-1 di separuh masa pertama. Pada pertembungan itu, ketua jurulatih pasukan negara Pau Marti Vicente melakukan tujuh perubahan dalam kesebelasan utama yang seri 2-2 menentang Kemboja pada aksi pembukaan di Phnom Penh, Ahad lalu, menyaksikan skuad kendaliannya bergelut dan beraksi di bawah kemampuan sebenar. Kegagalan menemui rentak permainan menyaksikan tandukan penyerang Syafiq Ahmad pada minit ke-10 menjadi satu-satunya percubaan tepat pasukan negara ke gawang sepanjang 30 minit pertama. Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol selepas beberapa siri gerakan serangan yang mengecewakan, apabila Syafiq menyempurnakan hantaran lintang cantik pemain gantian Fergus Tierney menerusi sepakan voli untuk meletakkan pasukan negara di depan pada minit ke-38. Namun, dalam sekelip mata Timor-Leste berjaya mendahului 2-1 di hujung separuh masa pertama selepas menghukum kealpaan benteng pertahanan negara dengan Olagar Xavier dan ketua pasukan Joao Pedro masing-masing mencipta nama sebagai penjaring pada masa kecederaan. Pedro yang mencuri tumpuan dengan larian pantas di sebelah kiri sekali lagi mengancam kubu negara, bagaimanapun rembatannya dari jarak dekat tersasar sebelum Malaysia mencipta gol penyamaan dua minit kemudian menerusi rembatan Josue yang menerima hantaran lambung cantik pemain tengah gantian Endrick Dos Santos. Penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC berusia 35 tahun itu terus garang di depan gawang apabila meraih gol peribadi keduanya selepas menanduk masuk bola tampanan kurang kemas pemain gantian Timor-Leste Luis Figo Ribeiro pada minit ke-83 sekali gus mengesahkan kemenangan pertama Malaysia pada kempen kali ini. Sementara itu, dalam satu lagi aksi kumpulan, Singapura yang beraksi dalam perlawanan pertama mereka berjaya menundukkan Kemboja 2-1 di Stadium Nasional, Singapura. Malaysia kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, satu mata di depan juara bertahan Thailand dan Singapura yang masing-masing baru bermain satu perlawanan di posisi kedua dan ketiga, diikuti Kemboja keempat (satu mata), dan Timor-Leste tercorot tanpa sebarang mata. Pasukan kebangsaan akan membuat perhitungan menentang Thailand di Bangkok, Sabtu ini, manakala Timor-Leste akan berdepan Singapura. News
Old magic missing as Nadal’s farewell starts with defeat Posted on 20/11/2024 Spain’s Rafael Nadal waves to the crowd after his loss to Netherlands’ Botic Van De Zandschulp at the Davis Cup quarterfinal in Malaga. (EPA Images pic) MALAGA: Rafael Nadal could not conjure the old magic as the 22-times Grand Slam champion lost a Davis Cup singles for the first time… Read More
Seven-month-old baby dies in babysitter’s care; teen drowns at Nilai waterfall in separate incidents Posted on 08/11/2024 SEREMBAN, Nov 7 (Bernama) — A seven-month-old baby boy died while under the care of his babysitter at the KLIA Quarters residential area here yesterday. Nilai district police chief Supt Abdul Malik Hasim confirmed that authorities were alerted to the incident by the KLIA Quarters Health Clinic at around 12.45… Read More
PM umum peruntukan RM50 juta sokong Penang Silicon Design Posted on 07/12/2024 Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz pada pelancaran GBS TechSpace di Bayan Lepas hari ini. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi Penang Silicon Design @5km+ yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan… Read More